Saturday, September 14, 2013

Sistem 1BestariNet Dijangka Siap Hujung Tahun Ini - Kamalanathan

MUAR, 14 Sept (Bernama) -- Semua sekolah di negara ini akan dilengkapi sistem 1BestariNet hujung tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.

Beliau berkata pada masa ini 85 peratus daripada sekolah sudah mempunyai sistem itu manakala bakinya masih dalam peringkat pemasangan dengan kebanyakan membabitkan sekolah di Sarawak.

"Setakat ini tiada masalah besar untuk melaksanakan program itu yang dijangka siap mengikut jadual," katanya pada sidang media selepas melancarkan 1BestariNet Frog Virtual Learning Environment (VLE) di Sekolah Menengah Dato' Sri Amar Diraja, di sini Sabtu.

1BestariNet ialah portal pembelajaran yang diperkenal oleh Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran selain merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata menerusi sistem itu sekolah akan dihubungkan dengan pangkalan pembelajaran tunggal menggunakan Internet berkelajuan tinggi 4G.

Beliau berkata melalui 1BestariNet, guru, pelajar dan penjaga mereka boleh mengakses beberapa aplikasi pembelajaran antaranya Maya Frog dan Frog Store selain Frog VLE.

Ketika ini kementerian sedang memberi penjelasan kepada guru mengenai sistem itu selain mendapatkan maklum balas mereka, katanya.

Menurut Kamalanathan, apabila siap keseluruhannya, sistem itu akan diguna oleh lebih lima juta pelajar, empat juta penjaga dan 450,000 guru.



Sumber:
Bernama.Com. (2013). Sistem 1BestariNet Dijangka Siap Hujung Tahun Ini - Kamalanathan. Dipetik dari http://www.bernama.com

No comments:

Post a Comment