Perjanjian perkongsian telah ditandatangani
oleh Tan Sri Dato’ (Dr) Francis Yeoh, Pengarah Urusan Kumpulan YTL dan
Wing K. Lee, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, manakala TM
diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Zamzamzairani Mohd
Isa, dan Naib Presiden Eksekutif, Perniagaan Wholesale, Rafaai Samsi.
Kerjasama 15 tahun ini yang
dimeterai oleh 2 jenama Malaysia yang tersohor ini akan membolehkan YTL
Communications memanfaatkan perkhidmatan Wholesale Ethernet TM di
seluruh negara, menggunakan platform Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi
(HSBB) dan rangkaian infrastruktur TM, untuk menyediakan perkhidmatan 4G
ke seluruh negara pada 2010.
Perjanjian usahasama itu ditandatangani oleh
Tan Sri Dato’ (Dr) Francis Yeoh, Pengarah Urusan Kumpulan YTL dan Wing
K. Lee, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, manakala TM diwakili
oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dato’ Zamzamzairani Mohd. Isa
dan Naib Presiden Eksekutif, Perniagaan Wholesale, Rafaai Samsi.
Tan Sri Dato’ (Dr) Francis Yeoh Sock Ping
menyifatkan usahasama di antara YTL Communications dan TM sebagai
langkah penting dan strategik yang akan membantu Malaysia mencapai
visinya untuk menjadi sebuah negara jalur lebar dan dilengkapi dengan
eko-sistem yang menawarkan perkhidmatan Internet wayarles di seluruh
negara menggunakan teknologi 4G.
“Kami sungguh gembira dengan usahasama
dengan TM ini, kerana kedua-dua pihak berkongsi objektif yang sama,
iaitu untuk mempercepatkan penembusan jalur lebar ke seluruh negara dan
mengurangkan jurang digital dalam negara di antara penduduk bandar dan
luar bandar.”
“Disamping itu, perkhidmatan 4G yang akan
ditawarkan oleh YTL Communications ke seluruh Negara ini akan membantu
ekonomi Malaysia menjadi lebih inovatif dan membolehkan negara menjadi
pusat kecemerlangan untuk teknologi Internet mudahalih dan wayarles.”
Menurut Tan Sri Francis Yeoh, misi YTL adalah untuk menawarkan produk
dan perkhidmatan yang bertaraf dunia yang akan meningkatkan cara
masyarakat Malaysia belajar, bekerja dan bersantai.
Tan Sri Francis Yeoh berkata bahawa YTL
Communications akan membantu mengubah cara masyarakat mengakses Internet
dan menawarkan peluang baru untuk aplikasi dan penyelesaian perniagaan
dan pengguna, dan juga membawa perkhidmatan Internet wayarles yang lebih
menyeluruh kepada warga Malaysia.
YTL Communications telah mendapat kelulusan
dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengoperasikan
rangkaian jalur lebar wayarles 2.3 GHz WiMAX di Malaysia dan menggunakan
peluang ini untuk menawarkan perhubungan wayarles yang berteknologi
tinggi bersama-sama dengan para perintis teknologi global yang terbesar,
seperti Cisco, Clearwire, GCT Semiconductor dan Samsung, pada masa
hadapan yang terdekat.
Menurut Dato’ Zamzamzairani, majlis
menandatangani perjanjian di antara TM dan YTL Communications adalah
bukti kekuatan TM dalam penyediaan rangkaian asas dan infrastrukturnya.
“TM komited untuk menyokong pengendali
perkhidmatan jalur lebar wayarles di negara ini melalui unit perniagaan
pukal kami. Majlis menandatangani perjanjian ini bakal menyaksikan TM
menjadi pembekal perkhidmatan utama kepada YTL Communications dalam
menyediakan rangkaian dan liputannya, dan akan menjadi pemboleh bagi
membantunya mencapai visinya untuk menawarkan perkhidmatan jalur lebar
wayarles ke seluruh negara untuk semua warga Malaysia.”
“Dengan membuka infrastruktur rangkaian
kepada semua pencari akses (access seekers) yang berlesen seperti YTL
Communications, TM menepati janjinya berkenaan akses terbuka dan
meneruskan sokongan Syarikat terhadap inisiatif Kerajaan untuk
memberikan akses kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) buat
semua, justeru meningkatkan kadar penembusan jalur lebar kepada 50%
sebelum akhir 2010. Kami melihat usahasama ini sebagai sumbangan kami
terhadap aspirasi negara untuk mencapai penembusan jalur lebar yang
lebih tinggi,” tambah Dato’ Zamzamzairani.
Menerusi infrastruktur Wholesale Ethernet
TM, YTL Communications boleh mendapat manfaat daripada kemudahan untuk
menyelaraskan lebar jalur menerusi penyelesaian TM yang bersepadu dan
juga bergantung kepada lebar jalur Wholesale Ethernet TM yang terjamin
dan boleh dipercayai bagi mengakses data dalam jumlah yang besar serta
menggunakan aplikasi yang memerlukan lebar jalur yang intensif. Menerusi
usahasama ini juga, YTL Communications akan menggunakan lebih daripada
200 menara telekomunikasi TM di seluruh negara untuk perlaksanaan dan
pemasangan rangkaian radio 4Gnya.
Source:
YTL Communications. (2009). YTL Communications Berusahasama Dengan TM Untuk Membawa Teknologi 4G Ke Malaysia. Retrieved from http://www.ytlcomms.my/BM/news_details.aspx?id=8