Friday, September 23, 2011

YTL Communications Berusahasama Dengan TM Untuk Membawa Teknologi 4G Ke Malaysia

Kuala Lumpur, 18th November 2009 – YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications) yang akan melancarkan perkhidmatan rangkaian 4G di seluruh negara tidak lama lagi, hari ini menandatangani perjanjian perkhidmatan “Wholesale Ethernet” dan Penyewaan Utama untuk Perjanjian Perkongsian Infrastruktur dengan Telekom Malaysia Berhad (TM), dan dengan itu membawa impian perhubungan jalur lebar bersepadu secara menyeluruh menghampiri realiti.

Perjanjian perkongsian telah ditandatangani oleh Tan Sri Dato’ (Dr) Francis Yeoh, Pengarah Urusan Kumpulan YTL dan Wing K. Lee, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, manakala TM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Zamzamzairani Mohd Isa, dan Naib Presiden Eksekutif, Perniagaan Wholesale, Rafaai Samsi.

Kerjasama 15 tahun ini yang dimeterai oleh 2 jenama Malaysia yang tersohor ini akan membolehkan YTL Communications memanfaatkan perkhidmatan Wholesale Ethernet TM di seluruh negara, menggunakan platform Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dan rangkaian infrastruktur TM, untuk menyediakan perkhidmatan 4G ke seluruh negara pada 2010.


Perjanjian usahasama itu ditandatangani oleh Tan Sri Dato’ (Dr) Francis Yeoh, Pengarah Urusan Kumpulan YTL dan Wing K. Lee, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, manakala TM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dato’ Zamzamzairani Mohd. Isa dan Naib Presiden Eksekutif, Perniagaan Wholesale, Rafaai Samsi.

Tan Sri Dato’ (Dr) Francis Yeoh Sock Ping menyifatkan usahasama di antara YTL Communications dan TM sebagai langkah penting dan strategik yang akan membantu Malaysia mencapai visinya untuk menjadi sebuah negara jalur lebar dan dilengkapi dengan eko-sistem yang menawarkan perkhidmatan Internet wayarles di seluruh negara menggunakan teknologi 4G.

“Kami sungguh gembira dengan usahasama dengan TM ini, kerana kedua-dua pihak berkongsi objektif yang sama, iaitu untuk mempercepatkan penembusan jalur lebar ke seluruh negara dan mengurangkan jurang digital dalam negara di antara penduduk bandar dan luar bandar.”

“Disamping itu, perkhidmatan 4G yang akan ditawarkan oleh YTL Communications ke seluruh Negara ini akan membantu ekonomi Malaysia menjadi lebih inovatif dan membolehkan negara menjadi pusat kecemerlangan untuk teknologi Internet mudahalih dan wayarles.” Menurut Tan Sri Francis Yeoh, misi YTL adalah untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang bertaraf dunia yang akan meningkatkan cara masyarakat Malaysia belajar, bekerja dan bersantai.

Tan Sri Francis Yeoh berkata bahawa YTL Communications akan membantu mengubah cara masyarakat mengakses Internet dan menawarkan peluang baru untuk aplikasi dan penyelesaian perniagaan dan pengguna, dan juga membawa perkhidmatan Internet wayarles yang lebih menyeluruh kepada warga Malaysia.

YTL Communications telah mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengoperasikan rangkaian jalur lebar wayarles 2.3 GHz WiMAX di Malaysia dan menggunakan peluang ini untuk menawarkan perhubungan wayarles yang berteknologi tinggi bersama-sama dengan para perintis teknologi global yang terbesar, seperti Cisco, Clearwire, GCT Semiconductor dan Samsung, pada masa hadapan yang terdekat.

Menurut Dato’ Zamzamzairani, majlis menandatangani perjanjian di antara TM dan YTL Communications adalah bukti kekuatan TM dalam penyediaan rangkaian asas dan infrastrukturnya.
“TM komited untuk menyokong pengendali perkhidmatan jalur lebar wayarles di negara ini melalui unit perniagaan pukal kami. Majlis menandatangani perjanjian ini bakal menyaksikan TM menjadi pembekal perkhidmatan utama kepada YTL Communications dalam menyediakan rangkaian dan liputannya, dan akan menjadi pemboleh bagi membantunya mencapai visinya untuk menawarkan perkhidmatan jalur lebar wayarles ke seluruh negara untuk semua warga Malaysia.”

“Dengan membuka infrastruktur rangkaian kepada semua pencari akses (access seekers) yang berlesen seperti YTL Communications, TM menepati janjinya berkenaan akses terbuka dan meneruskan sokongan Syarikat terhadap inisiatif Kerajaan untuk memberikan akses kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) buat semua, justeru meningkatkan kadar penembusan jalur lebar kepada 50% sebelum akhir 2010. Kami melihat usahasama ini sebagai sumbangan kami terhadap aspirasi negara untuk mencapai penembusan jalur lebar yang lebih tinggi,” tambah Dato’ Zamzamzairani.

Menerusi infrastruktur Wholesale Ethernet TM, YTL Communications boleh mendapat manfaat daripada kemudahan untuk menyelaraskan lebar jalur menerusi penyelesaian TM yang bersepadu dan juga bergantung kepada lebar jalur Wholesale Ethernet TM yang terjamin dan boleh dipercayai bagi mengakses data dalam jumlah yang besar serta menggunakan aplikasi yang memerlukan lebar jalur yang intensif. Menerusi usahasama ini juga, YTL Communications akan menggunakan lebih daripada 200 menara telekomunikasi TM di seluruh negara untuk perlaksanaan dan pemasangan rangkaian radio 4Gnya.

Source:
YTL Communications. (2009). YTL Communications Berusahasama Dengan TM Untuk Membawa Teknologi 4G Ke Malaysia. Retrieved from http://www.ytlcomms.my/BM/news_details.aspx?id=8